Sistem Pendidikan Masyarakat Melayu

1.0 PENGENALAN

Sistem pendidikan masyarakat melayu bermula sejak wujudnya tanah melayu. Namun begitu, pendidikan pada waktu itu dijalankan secara tidak formal dan tidak mementingkan perkembangan ilmu pengetahuan. Perkembangan  pendidikan  di  kalangan  masyarakat  Melayu  di  Semenanjung  Tanah  Melayu telah  bermula sejak  kedatangan  islam  di  Asia  Tenggara  pada  awal  abad  kelima belas. Oleh sebab itu, sistem  pendidikan  masyarakat  Melayu  pada  zaman  dahulu  amat berbeza  dengan  sistem  pendidikan  pada  masa  kini. Perubahan ini berlaku mengikut aliran zaman pemerintahan dan juga zaman penjajahan sehinggalah ke era kemerdekaan. Mayarakat  Melayu  dahulu  mengamalkan  sistem  pendidikan  secara  mudah  dan sederhana  pada  anak-anak  mereka. Kebanyakkan  anak-anak  Melayu  pada ketika  itu  tidak  bersekolah  dan  hanya  mempelajari  sesuatu  melalui  ibu bapa  mereka  sahaja. Manakala Ibu bapa hanya mengajarkan apa yang  mereka  tahu  sahaja.
Bagi  yang  beragama   islam, mereka  akan menfokuskan  dan  memastikan  bahawa  anak  mereka  mendapat  ilmu  dalam  bidang  agama.Mereka  akan  menghantar  anak  mereka  ke sekolah-sekolah  pondok yang  akan mengajarkan  ilmu  agama. Dengan wujudnya pendidikan  akan  dapat  membantu   seseorang  bagi  meningkatkan  maruah  dan  harga  diri  mereka. Disamping itu juga, dapat menaikan nama  sesuatu bangsa. Melalui pendidikan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi, bekerjasama  dan  aspek-aspek  moral  diterapkan  kepada  masyarakat  yang  bertujuan untuk melahirkan pewaris  negara  yang  berkualiti, bertanggungjawab, berdaya  saing, bijak  dan mempunyai  sifat  patriotik  kerana penting  untuk  memupuk  perpaduan  di  kalangan  masyarakat.

2.0 SISTEM PENDIDIKAN MASYARAKAT MELAYU SEBELUM MERDEKA
           
Sebelum kedatangan kuasa penjajah, pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kongnitif pelajar-pelajar. Corak pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-Quran, tingkah laku, dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian dan seni mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraftangan serta perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan.
            Pendidikan jenis ini lebih banyak berlangsung dalam kalangan rakyat jelata. Keluarga adalah institusi utama dalam pendidikan bentuk informal ini dengan ibu bapa memainkan peranan penting dalam proses pendidikan anak-anak.
            Pengajaran dan pembelajaran berlaku secara tidak langsung melalui pemerhatian; penglibatan; nasihat dan teguran. Pendidikan adalah bercorak warisan turun temurun dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi berikutnya.
            Semua kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan dididik serta diasuh dengan ketertiban, nilai, budi bahasa serta adab sopan. Ketertiban, nilai, budi bahasa serta adab sopan adalah mengikut norma-norma yang diterima oleh masyarakat pada ketika itu. Setiap individu perlu menghormati orang lain terutama kepada ibu bapa dan orang yang lebih dewasa. Tutur kata serta perbuatan perlu sentiasa dijaga bagi memelihara keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
            Pada peringkat lebih teratur terdapat satu sistem pendidikan agama yang disebut ‘sekolah pondok ‘yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal. Pelajar-pelajar menuntut di madrasah agama dan tinggal di pondok yang di bina di sekelilingnya. Sekolah-sekolah jenis ini masih boleh dilihat sekarang di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
            Ada juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke rumah ustaz, ustazah atau orang alim untuk mengaji Al-Quran dan pelajaran agama. Ada yang menghantar anak-anak ke sekolah pondok atau madrasah yang banyak dibina oleh alim ulama Islam yang datang dari Timur Tengah ke Tanah Melayu, terutama pada kurun ke-18. Berikut adalah antara contoh guru-guru yang terkenal yang mengajar di sekolah pondok iaitu Tuk Kenali, Tuan Husin dan Tok Pulau Manis

2.1 PENDIDIKAN ARAB DAN AGAMA
            Satu lagi jurusan persekolahan untuk menampung persekolahan anak-anak melayu ialah sekolah Arab dan Agama. Sekolah ini dikendalikan secara tidak formal dan kurikulumnya menekankan pengajaran Quran serta pendidikan moral dan kerohanian. Selepas perang Dunia Pertama, sekolah-sekolah Arab dan Agama telah muncul di merata-rata tempat di semenanjung Tanah Melayu terutama di negeri Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

2.2 PENDIDIKAN MADRASAH
            Sistem Pendidikan Madrasah mulai diperkenalkan bagi menyaingi sekolah-sekolah sekular. Kewujudannya mengekalkan ‘keislaman’ orang-orang Melayu terutamanya pada waktu orang Melayu menyerah dari segala segi kepada pemerintahan Inggeris. Kebanyakkan golongan yang mengasaskan Madrasah terdiri daripada Kaum Muda yang mendapat pendidikan di Mesir. Kalau diperhatikan terdapat perbezaan yang nyata sistem pendidikan Madarasah dengan sistem pendidikan pondok terutama dari segi sistem pembelajaran yang teratur.
Di Madrasah, cara pengajaran lebih berbentuk sekular yang tidak lagi menggunakan kaedah halaga dan pelajaran tadahan. Antara ciri-ciri sistem pendidikan di madrasah mempunyai kemudahan seperti pembahagian kelas, kewujudan jadual waktu dan pelajaran akademik. Sebagaimana dijelaskan oleh kenyataan di bawah ;

....madrasah mempunyai kurikulum yang tertentu serta struktur yang hampir menyerupai sekolah sekular. Namun, bahasa Arab kekal sebagai bahasa pengantar tetapi segala peluang diberikan bagi pelajar-pelajar mempelajari bahasa Inggeris dan juga subjek-subjek ‘moden’ seperti sains dan matematik.

            Kaum Muda memainkan peranan penting mengembangkan sistem pendidikan madrasah. Mereka merupakan golongan konservatif yang mahu mengekalkan amalan tradisi orang Melayu dalam bidang agama. Antaranya tokoh-tokoh yang berpendidikan Arab seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin merupakan tokoh-tokoh berpengaruh dalam Kaum Muda. Madrasah al-Iqbal merupakan madrasah pertama didirikan di Singapura pada tahun 1907. Pada tahun 1917, Syed Sheikh al-Hadi menubuhkan Madrasah Al-Hadi di Melaka dan pada tahun 1919, beliau berpindah ke Pulau Pinang menubuhkan Madrasah al-Masyhor dengan kerjasama beberapa orang Arab[1].

            Peranan Kaum Muda dalam majalah Al-Imam ada menerangkan betapa pentingnya pendidikan Islam dalam masyarakat Melayu terutama dalam pendidikan madrasah, iaitu mengusulkan suatu pembaharuan pada Sistem Pendidikan Islam. Menurutnya Sistem Pelajaran Islam haruslah didasarkan pengajaran rukun dan hukum yang benar dan dengan dasar ini mata-mata pelajaran bahasa, Arab, Bahasa Inggeris dan lain-lain yang bersangkutan dengan pelajaran moden hendaklah diajarkan.

            Di Kelantan, Pendidikan madrasah didokong oleh pendidikan bersifatkan keislaman dan tidak menghalangi mempelajari ilmu-ilmu moden dari Barat, kerana menganggap keseluruhan ilmu-ilmu itu berasal dari orang-orang Islam. Ini bermakna, peningkatan pemikiran orang-orang Melayu terhadap pendidikan agama dan duniawi diselaraskan dalam pendidikan madrasah mula diterima, pada hal, awal sistem pendidikan agama iaitu pendidikan pondok mula mencurigai pendidikan moden diterima pakai dalam pendidikan Melayu. Penubuhan Madrasah Muhammadiah pada tahun 1917 merupakan sokongan kepada pendidikan madrasah di Kelantan. Madrasah Muhammadiah melancarkan progaram pendidikan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang ditubuhkan pada tahun 1915, dengan pengajaran tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris.

            Pembaharuan sebenar dalam pendidikan Madrasah telah berkembang apabila pemikiran Za’ba diketengahkan oleh pemerintahan British. Saranan beliau supaya setiap negeri-negeri di Malaya perlu menubuhkan madrasah dalam pendidikan mereka. Kepentingan ini dilihat, sifat madrasah ini bersifat maju dan moden dari kurikulum dan pentadbiran berbanding dengan sistem pondok.  Inilah di antara faktor-faktor yang mendorong Za’ba mengalu-alukan penubuhan Madrasah Muhammadiah di Kelantan.

            Perkembangan pendidikan Melayu dalam agama diperluaskan melalui madrasah yang memiliki kesempurnaan ilmu-ilmu agama dan dunia ketika itu. Dalam kerangka tersebut, keseimbangan kedua-dua ilmu dapat dipelajari oleh orang-orang Melayu selain pendidikan aliran Inggeris dan kolej-kolej dikelola oleh British.

            Perkembangan pendidikan madarsah di negeri-negeri Melayu merupakan hasil usaha Kaum Muda dalam memperjuangkan konsep bangsa Melayu dalam pendidikan. Kerangka tersebut merupakan pembaharuan dan kemajuan dalam pendidikan Melayu, terutamanya pelajaran orang-orang Melayu dapat dipertingkatkan serta dapat meneruskan ke peringkat yang tinggi, ini dapat memenuhi hasrat perjuangan Za’ba dalam memertabatkan orang-orang Melayu dalam pendidikan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Adnan Hj. Nawang :

.....Perkembangan tersebut menggembirakan Za’ba. Apabila terdapat pembaharuan dan kemajuan dalam pendidikan Melayu, khususnya dari segi cukup pelajaran dalamnya, Za’ba yakin akan terbukalah sedikit peluang untuk membolehkan anak Melayu melanjutkan pendidikan mereka ke peringkat yang lebih tinggi kemudiannya..

            Pada hakikat itu, orang-orang Melayu sistem pendidikan Islam terjamin serta pendidikan dikembangkan lebih peringkat tinggi sebagaimana perjuangan Za’ba mahu anak-anak muda Melayu maju dalam pendidikan. Penubuhan madrasah ini, bukan hasil keseluruhan usaha Kaum Muda, malahan peranan kerajaan-kerajaan negeri menganggap kepentingan pendidikan Islam harus di ubah mengikut aliran zaman, pembaharuan dari sistem pendidikan lama bercorak pondok ke sistem pendidikan bari bercorak madrasah.

2.3 PENDIDIKAN ZAMAN JEPUN
            Semasa perang Dunia Kedua (l941-1945), negeri-negeri yang menganggotai Malaysia telah diduduki oleh tentera Jepun. Perkembangan ini memberi perubahan kepada sistem pendidikan di Semenanjung Malaysia. Dasar pelajaran di bawah pemerintahan tentera Jepun, ialah sekolah-sekolah venakular Melayu dan Tamil diteruskan seperti sebelumnya tetapi menambahkan bahasa Jepun dalam kokurikulum serta berorientasikan negeri Jepun. Pemerintahan Jepun juga menubuhkan Sekolah Nippon-Go bagi mengantikan sekolah-sekolah Cina dan Inggeris. Pengajaran Nippon-Go, lagu rakyat Jepun dan cara hidup mereka ditekankan di dalam kurikulum sekolah rendah.

            Pendidikan menengah telah diberhentikan dan sebagai gantinya telah ditubuhkan beberapa sekolah teknik dan maktab teknik untuk pengajian telekomunikasi, "maritim", perikanan, pertanian dan pembinaan[2]. Beberapa bangunan sekolah di Bandar-bandar digunakan sebagai berek, setor, pusat perniagaan dan ibu pejabat pentadbiran tentera Jepun. Guru-guru tempatan diberi latihan tambahan untuk mengajar bahasa Jepun.Kelas-kelas bahasa Jepun juga diadakan untuk orang dewasa di beberapa tempat seperti di kelab dan persatuan. Suratkhabar juga mempunyai ruangan khas bagi pengajaran Bahasa Jepun. Pendidikan pada zaman pemerintahan Jepun tidak mempunyai satu falsafah untuk tujuan perpaduan rakyat dan membentuk identiti Kebangsaan.

3.0 SISTEM PENDIDIKAN SEMASA PENJAJAHAN BRITISH
3.1 PERKEMBANGAN SEKOLAH VERNAKULAR MELAYU
Pada tempoh kedatangan awal Inggeris,mereka hanya bertujuan merebut kekayaan hasil sumber seperti bijih timah dan getah di Tanah Melayu.Sistem sekolah vernakular hanya diperkenalkan mulai dari pertengahan kurun ke-19 apabila kerajaan British mula mengambil perhatian terhadap pendidikan di Negeri-negeri Selat.Sebagai usaha pertama,pada tahun 1856,dengan bantuan kewangan daripada DYMM Temenggung Johor dan Gabenor Blundell, dua buah sekolah vernakular Melayu ditubuhkan di Singapura,sebuah di Teluk Belanga dan sebuah lagi di Kampung Gelam[3]. Kemudian, kerajaan British mengmbil langkah untuk mendirikan beberapa buah seklah Melayu di Pulau Pinang dan Melaka di antara tahun 1858 hingga 1863.Bagaimanapun,penubuhan sekolah –sekolah vernakular itu tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.Ibubapa menaruh sangsi terhadap faedah menghantar anak-anak ke sekolah yang tidak mengajar agama islam. Tambahan pula, mereka enggan melepaskan anak mereka yang boleh bekerja di rumah dan sawah.Selain itu, tok guru dan ulama juga menentang penubuhan sekolah vernakular Melayu kerana mereka menganggap sekolah itu akan mengancam profesyen mereka.Untuk menarik lebih ramai murid ke sekolah vernakular Melayu, A.M Skinner, Pemangku Majistret di Seberang Prai cuba mendirikan sekolah-sekolah vernakular Melayu dengan pengubahsuaian daripada dasar kelas ke Quran. Mengikut cadangan Skinner, di sekolah percubaan itu,pelajaran dalam waktu pagi ditumpukan pelajaran Bahasa Melayu,manakala pelajaran al-Quran diajarkan pada waktu petang.Kerajaan hanya memberi elaun kepada guru Bahasa Melayu sahaja dan guru agama  dibayar oleh pihak ibu bapa mereka. Sistem pendidikan yang dirancang ini mendapat sambutan yang baik dikalangan ibubapa.
Pada mulanya, sekolah vernakular hanya di buka untuk murid lelaki sahaja,kerana pada  ketika itu,ibubapa menentang kuat desakan menghantar anak perempuan mereka ke sekolah.Bagaimanapun,kejayaan rancangan Skinner dalam usaha menubuhkan sekolah vernakular Melayu,telah mendorongkan pemerintahan British menubuhkan sekolah vernakular Melayu untuk kanak-kanak perempuan.Sekolah vernakular perempuan pertama Melayu yang pertama dibina di Teluk Belanga,Singapura pada tahun 1884. Mengikut sejarah juga, bilangan sekolah-sekolah vernakular Melayu telah bertambah dari tahun ke tahun.

3.2 MATA PELAJARAN SEKOLAH VERNAKULAR MELAYU
Mata-mata pelajaran yang diajarkan di sekolah vernakular Melayu adalah berubah dari semasa ke semasa. Misalnya, di sekolah Melayu yang didirikan mengikut Skinner pada kurun ke-19,di antara mata pelajaran yang diajarkan adalah Bacaan, Mengarang,Ejaan, Menulis,Ilmu Hisab,Latihan Jasmani dan Ilmu Alam.Mulai dari kurun ke-20,mata pelajaran sseperti Perkebunan dan Anyaman ditambah dalam kurikulumnya. Perubahan kurikulum dari ajaran 3M (menulis, mengira dan membaca) kepada anyaman dan perkebunan di sekolah Melayu adalah berdasarkan kepada cadangan Winstedt dalam laporannya pada tahun 1917. Sekolah vernakular Melayu yang didirikan dan dikembangkan dari pertengahan kurun ke-19 hingga menjelang Perang Dunia Kedua oleh kerajaan British hanya terbatas hingga darjah empat sahaja. Kebanyakan sekolah Melayu didirikan di desa. Murid-murid di Sekolah Melayu hanya belajar menulis, membaca, mengira, kegiatan perkebunan dan cara menganyam. Kurikulum Sekolah Melayu tidak dapat berkembang lebih daripada darjah empat. Selepas itu, hanya segolongan kecil dapat memasuki Maktab Perguruan atau Malay Special Class, yang membolehkan mereka meneruskan pelajaran mereka ke sekolah Inggeris nanti.

3.3 PENUBUHAN UNIVERSITI SEBELUM MERDEKA
Sebelum merdeka, kerajaan Penjajah British hanya membina sebuah universiti di Singapura pada tahun 1949 yang dinamakan Universiti Malaya, bagi kegunaan kedua-dua negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu dn Koloni Singapura. Penubuhan universiti itu hasil perkembangan Kolej Raffles di Singapura yang telah ditubuhkan pada tahun 1928. Oleh kerana letaknya di Singapura, dan dipengaruhi oleh politik Penjajah British dan Kerajaan Singapura, maka rakyat di Tanah Melayu amat kurang mendapat nikmatnya.
Cara pendidikan dan bentuk pentadbiran unversiti di Singapura zaman penjajahan hampir sama dengan pentadbiran universiti tradisional di England. Masyarakat universiti itu yang terdiri daripada golongan elit memencilkan diri daripada masyarakat umum.Universiti dianggap sebagai menara gading.
Fungsi universiti semasa itu lebih memberatkan pengajaran ilmu pengetahuan akademik kepada pelajar-pelajar. Perkara yang dipentingkan ialah pengajaran sukatan pelajaran dan kurang penekanan terhadap pembinaan kefahaman pelajar-pelajar dan hubungan pelajar bersama masyarakat.

3.4 MATLAMAT PENDIDIKAN PENJAJAH
Sekolah-sekolah yang wujud pada zaman penjajah mencerminkan kuasa, keperluan-keperluan dan kehendak-kehendak pendidikan penjajah.Walaupun sistem pendidikan yang ditubuhkan itu secara kebetulan memenuhi sedikit keperluan masyarakat peribumi. Pendidikan sebagai agensi pemasyarakatan telah digunakan dengan efektif bagi tujuan dan matlamat penjajah Inggeris tanpa mengambil kkira rakyat Tanah Melayu pada zaman itu.Ada tiga matlamat utama pendidikan zaman penjajah:
1. Sekolah mempunyai tujuan memasyarakatkan kanak-kanak dengan nilai-nilai asing ataupun nilai-nilai bukan peribumi.
2. Sekolah melatih segolongan kecil masyarakat peribumi (terutama golongan pemimpin-pemimpin tradisional )bagi memenuhi tujuan tertentu mereka.
3. Sekolah agensi memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling minimum di peringkat yang paling rendah.




4.0 SISTEM PENDIDIKAN MELAYU SELEPAS KEMERDEKAAN

Pada awal kemerdekaan, masyarakat melayu masih lagi dalam kemiskinan yang tinggi. Oleh sebab itu, ramai yang tidak kesekolah. Kebanyakkan masyarakat melayu mendapat pendidikan di pondok-pondok dan madrasah sahaja. Terdapat juga golongan yang bersekolah, namun begitu tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana masalah kewangan dan sekolah terhad. Kebanyakkan sekolah rendah juga hanya didominasi oleh golongan lelaki manakala golongan wanita tidak bersekolah. Hal ini kerana sekolah terlalu jauh dari tempat tinggal dan kanak-kanak ini terpaksa berjalan kaki ke sekolah. Guru yang mengajar masyarakat melayu juga sedikit.
Tungku Abdul Rahman iaitu perdana menteri Malaysia pertama telah berusaha untuk memajukan masyarakat melayu supaya lebih berpengetahuan dan berpendidikan tinggi. Dengan ini sekolah menengah dan rendah digabungkan bersama dengan masyarakat lain seperti cina dan india bertujuan membentuk kesepaduan kaum. Masyarakat melayu juga diberikan pendidikan yang sama dengan masyarakat lain yang dahulunya terbatas sama ada dari segi mutu pendidikan yang diberikan mahupun peluang pekerjaan yang disediakan.
Sistem pendidikan pondok juga turut berubah. Terdapat pondok yang dijadikan sekolah agama untuk masyarakat melayu antaranya ialah Sekolah Agama Arau Perlis, dan Sekolah Menegah Tinggi Sultan Hishamudin, Klang, Selangor. Pada peringkat awalnya sekolah ini hanyalah madrasah tetapi telah diubah selepas kemerdekaan kerana bilangan pelajar yang semakin ramai. Dengan ini selepas kemerdekaan bilangan masyarakat melayu yang mendapat pendidikan semakin ramai dan bilangan pelajar semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Dalam sistem pendidikan, terdapat pendidikan sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Bagi sekolah menengah di cadangkan 3 aliran oleh Penyata Razak, iaitu akademik, vokasional dan teknikal. Masyarakat melayu dapat memilih untuk melanjutkan pelajaran ke tiga aliran tersebut. Jika terdapat orang melayu yang kurang bijak dalam sekolah akademik, mereka boleh bersekolah di sekolah vokasional dan teknik yang belajar dalam bidang kemahiran. Oleh sebab itu, sistem peperiksaan di sekolah tersebut turut wujud untuk ke arah satu peperiksaan yang sama.
Sekolah rendah dan menengah ini menggunakan bahasa melayu dan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar. Kerajaan turut memberi bantuan pembangunan dan struktur pentadbiran yang lebih sistematik. Hal ini melalui akta yang telah ditubuhkan oleh kerajaan yang diketuai Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussien iaitu Akta Pelajaran 1961. Sekolah-sekolah melayu juga turut di tambah bagi memberi pendidikan kepada masyarakat melayu.
Sistem pendidikan melayu mula berubah kepada sistem pendidikan yang lebih sistematik. Sistem ini lebih kepada membentuk perpaduan kaum dan bangsa Malaysia. Hal ini kerana untuk membentuk sebuah negara aman dan makmur di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya. Oleh itu, sistem pendidikan melayu mula ke arah pendidikan kebangsaan yang dibentuk hasil penggabungan rangka dasar yang ditetapkan oleh Laporan Razak dan Ordinan Pelajaran 1957.  
Berhubung sistem pendidikan masyarakat melayu, kaum cina dan india dalam Laporan Razak memeperkenalkan dua jenis peperiksaan, iaitu peperiksaan kenaikan darjah dan persijilan. Dalam laporan ini juga mengesyorkan penubuhan darjah-darjah menengah melayu dan Maktab Perguruan Bahasa. Pada tahun 1958, empat kelas darjah menengah melayu telah ditubuhkan dengan menumpang di empat buah sekolah. Dengan itu peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dalam bahasa melayu telah bermula pada tahun 1960 membawa kepada pembukaan satu aliran melayu tingkatan empat di sekolah Dato Razak Tanjung Malim, Perak. Pada tahun 1959 Maktab Perguruan Bahasa pula ditubuhkan di Bukit Senyum, Johor Bharu. Oleh sebab itu, Masyarakat melayu semakin maju dalam bidang pendidikan dan kearah membentuk pentadbiran sistematik.  
Dalam Penyata Rahman Talib 1960 mencadangkan umur persekolahan murid-murid dinaikkan daripada 12 tahun kepada 15 tahun. Manakala murid-murid yang gagal memasuki sekolah rendah ditawarkan untuk meneruskan pengajian lanjutan yang dikenali sebagai sekolah vokasional selama tiga tahun. Dengan ini maasyarakat melayu dapat melanjutkan pelajaran mereka walaupun gagal dalam sekolah kebangsaan. Semua kanak-kanak termasuk masyarakat melayu berpeluang mendapatkan pelajaran dan mengurangkan kadar buta huruf orang melayu.
Dalam Akta Pelajaran 1961 pula menetapkan penggunaan bahasa melayu sepenuhnya di semua peringkat pengajian, iaitu dari sekolah rendah sehingga institusi pengajian tinggi. Akta ini juga menetapkan umur minimum yang diperlukan untuk kanak-kanak belajar di sekolah ialah selama 15 tahun. Akta ini lebih menekankan perpaduan antara masyarakat melayu dan masyarakat lain seperti cina dan india. Akta Pelajaran 1961 ini memberi peluang kepada masyarakat melayu yang bersekolah jenis kebangsaan iaitu seramai 15 orang atau lebih boleh belajar agama islam disekolah berkenaan. Dalam konteks sekolah kebangsaan ini membenarkan masyarakat melayu mempelajari ajaran agama islam selain dari sekolah agama dan pondok.




5.0 SISTEM PELAJARAN SELEPAS 1961
           
Sistem pelajaran Malaysia telah mengubah sistem pendidikan masyarakat melayu dan juga masyarakat lain dengan memperluaskan peluang dan mempertingkatkan penyertaan pelajar dalam sistem persekolahan terutama ke peringkat sekolah menengah. Seterusnya matlamat kerajaan dalam sistem ini kearah mempertingkatkan mutu pelajaran melalui kurikulum yang baru dan mata pelajaran dipelbagaikan supaya selaras dengan perkembangan sains dan teknologi serta pembangunan ekonomi yang berasaskan kemajuan perusahaan. Hal ini bermaksud masyarakat melayu berpeluang melibatkan diri dalam perkembangan sains dan tekonologi serta ekonomi pada waktu ini.
            Masyarakat melayu juga terlibat dalam aspek perkembangan pendidikan pada tahun 1980-an iaitu usaha ke arah penyataan konsep dan falsafah pendidikan kebangsaan. Sebelum ini, tidak terdapat penyataan falsafah pendidikan dibuat secara tersurat dalam Penyata Razak, Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961. Pada pertengahan tahun 1980an timbul kesedaran mengenai perlunya satu penyataan falsafah untuk pembangunan pendidikan negara. Kandungan falsafah pendidikan kebangsaan:

“Pendidikan Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara[4]
           
Hasil dari falsafah pendidikan ini masyarakat melayu berjaya memperkembangkan tahap pendidikan dan berjaya dalam pengurusan negara. Hasil daripada pendidikan kebangsaan ini orang-orang melayu juga berjaya melibatkan diri dalam bidang ekonomi dan perusahaan. Kawasan penempatan masyarakat melayu juga turut berkembang pesat. Kemiskinan orang melayu mula berkurang dari tahun ke tahun. Tahap ekonomi orang melayu juga turut meningkat dari semasa ke semasa.
            Dalam Akta Pendidikan 1996 pembelajaran masyarakat melayu dalam pendidikan agama islam diperluas untuk meliputi murid-murid di semua kategori termasuk sekolah swasta dan diperkukuh dengan menjadi pelajaran tersebut sebagai salah satu daripada pelajaran teras di sekolah-sekolah. Terdapat beberapa peringkat pendidikan yang membolehkan masyarakat melayu mendapatkan pendidikan iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menegah, pendidikan teknik dan politeknik, pendidikan khas, pendidikan tinggi dan pendidikan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian tinggi swasta.
           
Negara Malaysia telah memberikan banyak peruntukkan untuk sistem penididikan Negara. Hal ini telah membenarkan masyarakat melayu dan masyarakat lain meningkatkan tahap bidang pengajian. Disamping itu peningkatan taraf hidup masyarakat di negara Malaysia kesan daripada sistem pendidikan melalui rancangan-rancangan kearah negara maju iaitu wawasan 2020. Namun begitu, masyarakat melayu mengalami dilema permasalahan keruntuhan akhlak dalam pembelajaran dan perubahan dari segi social budaya. Dengan kemasukan teknologi baharu dan budaya masyarakat luar Negara memberi impak kepada masyarakat melayu.
           
Masyarakat melayu juga terlibat dalam gejala social seperti jenayah pecah rumah, pembuangan bayi, kes kecurian dan penyalahgunaan dadah di peringkat sekolah. Oleh itu sistem pendidikan Malaysia perlu diubah dari masa ke semasa supaya masyarakat melayu tidak terlibat dalam masalah gejala social ini. Bagi menangani masalah ini Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar pada 22hb April 2010 bahawa sistem pendidikan perlu diperbaharui dengan memasukkan elemen-elemen karakter bersama kebijaksanaan. Katanya pembaharuan berkenaan perlu dilakukan oleh mana-mana negara sekali pun kerana masih banyak perkara yang perlu dan telah tidak dimasukkan dalam sistem pendidikan yang sedia ada.

"Masih terdapat ruang-ruang yang tidak digunakan dengan efektif, ini bagi mengelakkan lahirnya pelajar-pelajar yang mempunyai karakter tidak baik."Pelajar yang mempunyai ilmu pengetahuan tetapi dengan karakter yang tidak baik membahayakan masyarakat...dia tidak boleh dianggap aset kepada kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Beyond Vision 2020".
            Walaupun begitu, masyarakat melayu masih lagi berjaya dalam mentadbir negara dan berjaya terlibat dalam bidang ekonomi dan sosial. Permasalahan masyarakat melayu dalam pendidikan terus ditangani oleh pihak kerajaan bagi memastikan masyarakat melayu dapat menikmati dan memperoleh kemajuan bersama masyarakat lain di negara Malaysia.

6.0 KESIMPULAN
           
 Setelah mengetahui segala kronologi pendidikan sejak zaman sebelum penjajahan British hinggalah zaman selepas merdeka, kita dapat membuat kesimpulan bahawa banyak perkembangan telah dilakukan terhadap sistem pendidikan negara. Bermula daripada sistem yang berorientasikan kepada bangsa dan agama sendiri kepada sistem pendidikan yang menitik beratkan aspek pendidikan berteknologi tinggi. Walaupun banyak perubahan yang telah dijanakan oleh kerajaan, namun aspek etika tidak pernah ditinggalkan begitu sahaja. Setiap perancangan akan mengambil kira etika moral dan disiplin setiap individu pelajar untuk menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
            Namun, di sebalik usaha-usaha murni tersebut, tersembunyi beberapa kelemahan yang secara tidak langsungnya akan menyebabkan barah yang lebih besar sekiranya tidak ditangani secara total oleh pihak kerajaan. Usaha menyembuhkan barah ini memerlukan pengorbanan daripada seluruh rakyat yang mengaku dirinya seorang warganegara yang berdisiplin dan berhemah tinggi. Hanya dengan cara ini sajalah perkembangan pendidikan akan selaras dengan perkembangan etika para pelajar yang semestinya perlu diberi didikan yang sempurna demi mencapai taraf individu yang berjaya.




[1] http://wacanailmupgsr.blogspot.com/2010/01/perkembangan-pembangunan-pendidikan.html
[2] http://wacanailmupgsr.blogspot.com/2010/01/perkembangan-pembangunan-pendidikan.html
[3] http://dadwayne.blogspot.com/2010/03/perkembangan-sistem-pendidikan-di.html
[4] Falsafah dan Sistem Pendidikan di Malaysia (yahya don, yaakob daud, aziah ismail, abu hassan Othman,kamaruddin kasim)

Ulasan